" 10 TAHUN LAGI MELAYU AKAN HILANG KUASA " - TUN MAHATHIR

Lima beradik bergilir-gilir ponteng sekolah




KOTA BHARU - Memperjudikan masa depan sendiri, lima beradik terpaksa mengambil tindakan ponteng sekolah secara bergilir bagi menjaga bapa terkena penyakit angin ahmar, nenek dan datuk pula sakit tua.

Kakak sulung daripada enam beradik berkenaan, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16 berkata, setiap minggu, dia dan adik-adiknya terpaksa ‘bercuti’ secara purata dua hari seminggu secara bergilir-gilir.

“Setiap hari, kami terpaksa memastikan bapa makan ubat dan makan minum ketiga-tiga mereka perlu dijaga.

“Nenek dan datuk pula sakit tua, tiada siapa yang jaga mereka jika kami bersekolah, malahan ibu sering tiada wang untuk memberikan duit poket kami ke sekolah, sebab itulah kami bergilir-gilir ke sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Tok Ku, Sering, di sini.

Ibu mereka, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, kini terpaksa mengambil alih tugas bapanya, Zulkifli Deraman, 44 yang disahkan menghidap penyakit angin ahmar dan lelah.

“Bagi menyara keluarga ini, saya bekerja di kedai perabot terletak di Pasir Tumboh.

“Saya bekerja sebagai pembantu di kedai itu dan menerima gaji harian RM18 sehari, ulang-alik ke tempat kerja pula dengan van syarikat dan jika tidak bekerja, saya tidak akan dapat gaji,” katanya.

Lantaran kesukaran tiada siapa menjaga makan minum dan mengatur masa ubat-ubatan suaminya, anak-anak terpaksa ‘merelakan’ diri mereka dengan membolehkan dua daripada anaknya menjaga ketiga-tiga mereka seharian.

“Ini bermakna, dalam sehari, empat anak akan bersekolah dan setiap daripada mereka perlu diberi duit sekolah RM1 seorang, jika tiada duit, mereka terpaksa belajar di rumah,” katanya.

Pengorbanan itu juga menuntut anak-anak lain, Nik Muhamad Arif, 15, Nik Muhamad Afif, 13, Nik Mohamad Azwar, 11 dan Nik Nur Athirah, 10 yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal dan yang bongsu, Nik Muhamad Asyraaf, 6, belajar di prasekolah.

Tengku Azizah berkata, keadaan suaminya semakin membimbangkan berikutan dia kini terpaksa memakai lampin pakai buang dengan kos RM300 sebulan.

“Semasa sihat, suami saya bekerja sebagai tukang rumah dan pada waktu malam, dia kerja lebih masa sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang memantau keselamatan sekitar Kedai Lalat,” katanya.

Ibunya yang tinggal bersama, Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, pula mengalami masalah pendengaran, manakala bapanya, Tengku Ahmad Tengku Daud, 90 ,pula mengalami sakit tua.

Tengku Azizah berkata, dia tidak pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu prosedurnya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah menerusi 014-5026179 atau penghulu kampung, Shukri Ali : 013- 953 8113.

Bantuan juga boleh disalurkan terus menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Tengku Azizah: 03103-29-00015739-3. sinar


No comments:

Post a Comment