KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah
di sini, semalam menetapkan 17 April depan bagi suami kepada Nurul
Izzah Anwar, Raja Ahmad Shahrir Raja Salim membawa wakil masing-masing
untuk dilantik menjadi jawatankuasa pendamai dalam usaha menyelamatkan
rumah tangga mereka.
Tarikh itu ditetapkan selepas ahli perniagaan itu gagal membawa wakil pada prosiding sebutan kes itu semalam.
Hakim Syarie Ab Malek Awang menetapkan
tarikh itu dalam kamarnya semasa sebutan kes itu yang dihadiri pasangan
itu dan peguam masing-masing di sini, semalam.
Nurul Izzah hadir buat pertama kalinya di mahkamah semalam ditemani adik perempuan dan rakannya.
Nurul Izzah membawa bapa saudaranya, Rosli Anwar sebagai wakil pihaknya dalam jawatankuasa berkenaan.
Mahkamah turut menetapkan 12 Jun depan
bagi kedua-dua jawatankuasa pendamai yang dilantik mengemukakan laporan
masing-masing sebelum mahkamah itu membuat sebarang keputusan berhubung
permohonan cerai difailkan Nurul Izzah.
Pihak media gagal mendapatkan sebarang
komen daripada Nurul Izzah, sebaliknya beliau mengulangi kata ‘terima
kasih kerana menghormati privasi kami’ lantas bergegas meninggalkan
mahkamah.
Pada prosiding sebelum ini, mahkamah
mengarahkan kedua-dua pihak itu segera melantik wakil masing-masing
kerana kes berkenaan sudah begitu lama tertangguh.
Nurul Izzah, 34, memfailkan permohonan
cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir mengikut Seksyen 47 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Pasangan yang berkahwin pada 9 Mei 2003
di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua orang anak
masing-masing perempuan dan lelaki tujuh dan empat tahun.
No comments:
Post a Comment