" 10 TAHUN LAGI MELAYU AKAN HILANG KUASA " - TUN MAHATHIR

Fitnah: Mat Sabu, Mustafa diperintah bayar RM200,000 kepada Wan Ahmad



 


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali hari ini diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berhubung Projek IC di Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Lee Heng Cheong memutuskan demikian selepas mendapati Wan Ahmad berjaya membuktikan kesnya terhadap kedua-dua pemimpin tertinggi parti pembangkang itu.

Beliau turut memerintahkan Mohamad atau Mat Sabu yang dinamakan sebagai defendan pertama dan Mustafa defendan kedua membayar kos RM50,000 kepada Wan Ahmad.

Wan Ahmad selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 5 Mac 2013 berhubung penerbitan artikel bertajuk Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai dan Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan dalam lidah rasmi Pas, Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013.

Saman tersebut difailkan atas kapasiti peribadi beliau.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan mengeluarkan perkataan fitnah bahawa beliau tidak boleh dipercayai kerana kononnya terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam 'Projek IC' di Sabah.

Bagaimanapun, plaintif gagal membuktikan kes terhadap defendan ketiga hingga kelima iaitu pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman; dan penulis artikel itu, Aziz Muda.

"Mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan bahawa defendan ketiga adalah pencetak, defendan keempat sebagai ketua pengarang dan defendan kelima adalah penulis kepada artikel terbabit," katanya.

Ekoran itu, Wan Ahmad diperintah membayar kos berjumlah RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan tersebut.

Terdahulu, mahkamah menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh kesemua defendan bahawa firma guaman Tetuan Hafarizam, Wan dan Aisha Mubarak tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) kerana Wan Ahmad tidak memerlukan fiat (kebenaran) untuk memulakan prosiding saman kerana beliau bukan lagi seorang penjawat awam.

Pada prosiding hari ini, plaintif diwakili oleh peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala kesemua defendan diwakili peguam Azhana Mohd. Khairuddin.

Sementara itu, Wan Ahmad ketika ditemui selepas tamat prosiding mengucapkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah hari ini yang akhirnya membersihkan nama dan maruah beliau.

Keputusan tersebut juga, kata beliau, menamatkan segala beban akibat rasa malu yang terpalit terhadap dirinya dan keluarga.

Ujarnya, kewibawaan SPR juga telah tercalar ekoran fitnah yang dikeluarkan oleh Mat Sabu dan Mustafa kerana kenyataan itu dibuat sewaktu beliau masih lagi bertugas dengan badan pilihan raya itu.

"Saya berharap keputusan pada hari ini akan menjadi pengajaran dan teladan kepada Mohamad Sabu dan Pas supaya lebih berhati-hati apabila bercakap atau mengeluarkan kenyataan yang melibatkan peribadi dan maruah pihak lain," kata Wan Ahmad.

No comments:

Post a Comment