" 10 TAHUN LAGI MELAYU AKAN HILANG KUASA " - TUN MAHATHIR

RCI ELAK FITNAH - MUFTI KELANTAN




Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad, berkata penubuhan sebarang suruhanjaya bagi menyiasat kes video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa saja yang berprofil tinggi perlu disokong bagi mengelak fitnah daripada berterusan.

Beliau berkata, Islam sendiri menuntut sebarang tuduhan yang dilaporkan pihak tertentu diteliti dan disiasat sebaik mungkin bagi menyelesaikan kekeliruan di kalangan umatnya.

“Sebarang tuduhan perlu diteliti dan disiasat dengan sebaik-baiknya. Dalam Islam, apabila datang orang fasik membawa berita, kita perlu pastikan berita itu, diselidik dan diperhalusi,” katanya semalam.

Beliau diminta mengulas reaksi Majlis Peguam Malaysia kelmarin yang mempersoalkan desakan pelbagai pihak bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat klip video seks mengenai seorang lelaki dikatakan menyerupai Anwar dan menyifatkan desakan sedemikian sudah ‘tersasar’.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Lim Chee Wee dilaporkan berkata mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, sesebuah RCI ditubuhkan untuk menyiasat perkara kepentingan awam, umumnya membabit atau mengaitkan institusi awam yang mempunyai kuasa terhadap beberapa aspek kehidupan atau kebajikan rakyat.

Ditanya adakah rakaman video aksi seks boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mendakwa pelaku di Mahkamah Syariah, Mohd Shukri yang juga Ahli Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan berkata ia terpulang kepada mahkamah yang mengamalkan hukum takzir.

“Peruntukan yang ada di Mahkamah Syariah bukan bertaraf hudud, ia bertaraf takzir. Maka pembuktian pada peringkat takzir tidak sama pada peringkat hudud.
 
“Kalau kita tuduh sesiapa, tuduhan mesti dibuktikan sebab kewajipan orang menuduh kena buktikan. Sama ada menerusi rakaman video atau gambar, diterima atau tidak terpulang kepada mahkamah, sama macam Mahkamah Sivil yang terima DNA atau bukti lain seperti tuala.

“Sebenarnya undang-undang mahkamah di negara kita tidak ada hukum hudud yang perlu empat saksi (kerana) yang ada hukum takzir yang tahapnya tidak sekuat hudud,” katanya.

Takzir mengikut perundangan Islam ialah hukuman yang tidak ditetapkan kadar dan bentuknya oleh syariat atau hak manusia dalam setiap kesalahan dan terserah kepada budi bicara hakim menimbang dan memilih hukuman yang sesuai. - BHarian

No comments:

Post a Comment