" 10 TAHUN LAGI MELAYU AKAN HILANG KUASA " - TUN MAHATHIR

Wira Terkorban Adalah Syahid - Mufti Kelantan




Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam serangan penceroboh di Sabah dianggap sebagai mati syahid.
 


Beliau berkata tidak wajar mana-mana pihak yang masih mempersoalkan status kematian wira negara dalam mempertahankan tanah air itu.

 

“Walaupun kematian anggota pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan pencerobohan itu tidak dianggap sebagai syahid dunia dan akhirat sebagaimana di zaman Nabi yang berperang antara orang Islam dengan bukan Islam, namun ia tetap dinamakan mati syahid juga kerana kematian mereka itu adalah untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 

Mohamad Shukri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) diminta mengulas mengenai terdapat pihak yang mempersoalkan kematian wira negara dalam mempertahankan tanah air dari pencerobohan kumpulan bersenjata warga Filipina di Lahad Datu, Sabah.

 

“Mengikut sabda Nabi S.A.W sesiapa yang mempertahankan nyawa, harta daripada dirompak, kehormatan diri daripada dirogol atau mati dalam kemalangan misalnya ia juga dinamakan mati syahid dan wajib dikebumikan sebagaimana jenazah yang mati dalam keadaan biasa, iaitu dimandi, kafan dan disembahyangkan,” katanya.

 

Beliau juga berkata tidak sepatutnya mana-mana pihak atau negara luar mempersoalkan hak Malaysia ke atas bumi Sabah sebagaimana termeterai dalam perjanjian.

 

“Sesiapa yang mempertikaikan isu itu seolah-olah mencabul kedaulatan negara kita dan ia perlu dipertahankan,” katanya.

 

“Cuma, kalau adapun sesiapa yang ingin menuntut sesuatu hak itu tidak boleh kecuali melalui undang-undang kerana kita ada mahkamah dunia, pencerobohan itu sendiri adalah salah dari segi hukum agama.

 

“Begitu juga contohnya, jika ada orang bunuh anak kita, kita tidak boleh bunuh balik kerana kita kini ada undang-undang, mereka yang melakukan tindakan sendiri tanpa berpandukan kepada peraturan dan undang-undang disifatkan mengamalkan ‘undang-undang rimba’,” katanya.

 

Sejak krisis pencerobohan pengganas itu lima anggota polis cedera manakala lapan anggota polis terkorban dalam serangan pengganas iaitu dua di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di Semporna pada 2 Mac. – Bernama


No comments:

Post a Comment