Pelakon Lisa Surihani, 26, bersyukur apabila pihak pihak polis
berjaya menahan individu yang menceroboh akaunnya pada 11 Januari lalu
sehingga mengakibatkan kehilangan wang berjumlah RM50,000.
Akhbar Harian Metro melaporkan, Lisa telah dimaklumkan mengenai tahanan tersebut dan diminta menunggu tindakan susulan daripada pihak polis.
"Saya sangat menghargai kerjasama diberikan polis dan bank sehingga
tertangkapnya individu itu dan syukur keadilan yang dimahukan hampir
tertunai," katanya.
Pada Selasa, rahsia kehilangan wang simpanan pelakon itu terbongkar
selepas siasatan polis mendapati ia dilakukan kakitangan bank sebelum
menahannya.
Kakitangan bank wanita itu dikatakan membatalkan kad mesin
pengeluaran wang automatik (ATM) milik Lisa sebelum membuat salinan baru
dan melakukan pengeluaran RM50,000 yang direkodkan pengeluarannya di
Kuantan, Pahang sejak awal bulan ini.
Wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata itu ditahan jam 10 pagi, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten
Komisioner Izany Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan
wanita terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
(KK).
Katanya, hasil siasatan awal, wanita terbabit memang berkeupayaan
untuk melakukan pemalsuan dokumen artis itu kerana sememangnya bekerja
dengan bank berkenaan sebelum membuat kad ATM baru untuk mendapatkan
wang dengan jalan mudah.
Dalam pada itu, Lisa berkata, insiden terburuk sejak bergelar artis
itu turut memberi pengajaran untuknya lebih berhati-hati pada masa
depan.
Lisa sebelum ini dilaporkan kehilangan RM50,000 sejurus kehilangan
kad pengeluaran wang automatik (ATM), namun hanya disedarinya ibunya,
Siti Amira Ahmad, 62, ketika ingin membuat pengeluaran di sebuah bank di
Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, ibu pelakon berkenaan membuat semakan baki dan mendapati wang simpanan berkurangan.
Hasil rujukan di bank, mereka dimaklumkan kad ATM terbabit tidak
boleh digunakan kerana sudah ditukarkan kad baru oleh individu lain
tanpa pengetahuan.
No comments:
Post a Comment