Ketabahan dan semangat juang penduduk Palestin di Gaza memberi
kesan mendalam kepada artis tanah air, Afdlin Shauki yang menyertai
Misi Kemanusiaan Aqsa Syarif ke Gaza (A2G). Selebriti yang menyertai misi ke-11 Aqsa Syarif ke Gaza itu melihat
sendiri penduduk Gaza tidak pernah meminta simpati, malah mereka tabah
menghadapi kehidupan walaupun kehilangan anggota keluarga dalam serangan.
"Apabila menceritakan pengalaman mengharungi detik-detik cemas dan
kekejaman Israel, mereka tidak menangis sebaliknya saya dan peserta misi
yang lain yang tidak dapat menahan air mata. "Selain itu, penduduk Gaza sentiasa bersyukur dengan setiap bantuan
yang disalurkan oleh dunia antarabangsa," katanya ketika ditemui sejurus
tiba dari Kaherah, Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Misi Aqsa Syarif yang diketuai Norazmi Talib bermula pada 3 Dis lalu
turut disertai dua lagi artis Bront Palarae dan Zain Saidin. Afdlin yang mengakui cuak sebelum ke Gaza, berkata jika diberi peluang,
beliau ingin kembali ke Gaza untuk membantu penduduknya selain
membangunkan infrastruktur yang musnah.
Mengulas kritikan sesetengah pihak yang mempertikaikan penyertaan artis
dalam misi kemanusiaan, Afdlin berkata beliau tidak mahu memperbesarkan
isu remeh itu malah mahu memberi tumpuan ke arah pembangunan di Gaza.
Mengenai ura-ura bahawa beliau bakal dilantik sebagai Duta Kehormat
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Gaza, Afdlin mengesahkan bahawa
beliau sudah bertemu dengan pihak berkenaan dan masih mengadakan
perbincangan mengenai pelan pembangunan infrastruktur di sana.
Sementara itu, Pengerusi Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
berkata pihaknya akan menghantar dua lagi misi bantuan ke Gaza yang
bakal disertai artis dan selebriti terkenal tanah air yang dijangka bertolak pada 16 dan 24 Disember. "Kita telah berjaya menyalurkan bantuan berjumlah RM1.9 juta kepada penduduk Gaza," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment