BAGAN DATOH: PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar menyatakan pendirian sama ada bersetuju atau menentang cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk terus memperjuangkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian dua parti itu penting terutama PAS yang kononnya memperjuangkan Islam.
Katanya, beliau berpendapat pandangan Karpal Singh adalah pandangan rasmi DAP kerana jawatannya dalam parti pembangkang itu.
"Jika benar beliau (Karpal) berhasrat demikian (terus memperjuangkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri) kita mahu pendirian rasmi daripada PAS.
"Adakah apa yang dilontarkan oleh Karpal secara rasmi ini (juga) menjadi pendirian pada PAS? Kita harap PKR juga menyatakan pendiriannya walaupun dalam Perlembagaan negara tidak menyebut soal bangsa dalam menentukan jawatan Perdana Menteri, tetapi secara konvensyen perkara ini telah dipersetujui.
"Kita harap PAS yang memperjuangkan Islam kononnya juga jangan berdolak dalih lagi dalam isu ini sebagaimana mereka berdolak dalih dan bercanggah pendapat dalam soal muzakarah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.
Published with Blogger-droid v2.0.4
No comments:
Post a Comment