PAS menafikan laporan media yang mendakwa ahli parti Islam tersebut daripada Unit Amal PAS telah merempuh benteng polis ketika perhimpunan Bersih “Duduk Bantah” Sabtu lalu.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Nasrudin Hasan berkata, pihaknya juga kesal dengan laporan media yang seolah-olah melihatkan Unit Amal PAS yang bertugas menjaga keamanan sewaktu demonstrasi Bersih 3.0 dilabel seperti perusuh yang merempuh anggota polis.
“Unit amal bukan skuad penggempur. Saya kecewa dengan laporan media yang memperlihatkan Unit Amal PAS seperti perusuh dengan menayangkan gambar mereka merempuh benteng yang dibuat anggota polis.
“Mereka bukan merempuh, mereka hanya cuba meloloskan diri, supaya penyokong perhimpunan tidak bertembung dengan anggota polis,” tegasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS di sini.
Jelas Nasruddin, tugas utama Unit Amal PAS adalah menjaga ketenteraman peserta perhimpunan dan mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.
“Mengapa polis tetap membuat halangan di Jalan Ampang? Itu bukan kawasan larangan. Ini jelas menunjukkan polis berniat untuk memukul anggota Unit Amal yang selama ini mempunyai trek rekod yang cemerlang,” tegasnya menjelaskan insiden perusuh menembusi benteng polis pada perhimpunan 28 April lalu.
Dalam sidang media tersebut, Nasruddin turut menayangkan video rakaman yang menunjukkan anggota Unit Amal PAS yang dilarang memberikan bantuan kepada perusuh yang sedang dipukul anggota polis di Jalan Raja Laut.
“Unit Amal cuba memberikan bantuan, tetapi dihalang pihak polis?
Kenapa media tidak memainkan perkara ini, sebaliknya melaporkan keburukan Unit Amal?” soalnya lagi.
Malah, Nasrussin juga yakin kredibiliti dan imej Unit Amal yang umum sedia maklum bertugas menjaga keamanan sewaktu perhimpunan “Duduk Bantah” di Dataran Merdeka Sabtu lalu tidak akan tercalar.
“Imej Unit Amal tidak akan tercalar dengan agenda busuk mereka,” tegasnya lagi yang tidak menolak kekacauan yang berlaku semasa demonstrasi “Duduk Bantah” berpunca daripada agen provokasi pihak-pihak tertentu.
Sehubungan itu, pihak DPPM mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai video untuk memuat naik di laman YouTube, ataupun menyerahkannya kepada DPPM supaya dapat dijadikan bukti.
“DPPM meminta agar wira-wira rakyat tampil mengemukakan rakaman mereka, supaya pihak kami daripada Juham (Jabatan undang-undang dan hak asasi manusia) dapat mengkaji dan menelititi video berkenaan supaya tindakan perundangan dapat diambil.
“Kami juga menuntut satu suruhanjaya bebas dibentuk untuk menyiasat dengan adil dan rasional berhubung insiden 28 April lalu,” katanya lagi.
Tambah Nasruddin,
PAS menyertai Bersih kerana menyokong 84 NGO yang menuntut pilihan raya adil dan bersih, dan sekiranya kerajaan masih lagi tidak melaksanakan lapan tuntutan Bersih, pihaknya tidak teragak-agak untuk menyokong Bersih 4.0.
“Sekiranya tuntutan itu tidak dilayan lagi, kami tidak teragak-agak untuk menyokong Bersih 4.0.”
Lebih 25,000 perusuh disuraikan anggota polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata selepas beberapa perusuh mula menceroboh kawasan Dataran Merdeka dan menyelamatkan diri ke bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam insiden Bersih 3.0 kelmarin.
Sebahagiaan 15,000 tersepit antara polis dan DBKL memecahkan halangan dan bergerak ke Dataran Merdeka, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah cuba berunding dengan polis, yang menggesa Ahli Parlimen Gombak itu menenangkan perusuh. Namun, mereka berdegil menceroboh kawasan dataran walaupun telah dinasihatkan tidak berbuat demikian.
Polis melepaskan gas pemedih mata di kawasan sekitar DBKL, berhadapan Jalan Parlimen, dan bergerak ke arah perusuh yang cuba mencari perlindungan dan dihalau ke Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.
Berang dengan tindakan itu, perusuh kemudiannya menyerang kereta pihak polis yang kemudiannya melanggar sekurang-kurangnya dua perusuh ketika cuba melepaskan diri.
Walaupun majoriti perusuh bersurai, sekumpulan 1,000 perusuh kemudiannya mencabar polis berhampiran Masjid Jamek.
Dianggarkan 460 perusuh ditahan polis, kurang satu per tiga daripada perhimpunan 9 Julai tahun lalu. Dipetik dari MI
No comments:
Post a Comment