TUTUR kata yang dikeluarkan seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidah dan berbicara menurut pertimbangan akal waras.
Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan iaitu melalui perbualan, penulisan atau perdebatan. Sebagai manusia, kita mempunyai hak menyuarakan pendapat sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.
Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, menyumpah, mengaibkan hingga menyinggung perasaan orang lain. Ini boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan serta perbalahan.
Bijak bestari pernah berpesan, ‘berfikir itu pelita hati.’ Pepatah Melayu pula mengatakan, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’ Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.
Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan maka kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak mengingatkan kita supaya menjaga tutur kata.
Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik (mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk (mati) yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.” (Surah Ibrahim, ayat 24-26)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin, lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 58)
Daripada Abu Zar, ia mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Daripada Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan. Kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya, apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan itu.” (Hadis riwayat Abu Daud)- BeritaOnline
No comments:
Post a Comment